Posted by: NORLELA BINTI BUANG | 9 August 2010

BILA PUTARAN MASA BUKAN DI TANGAN MANUSIA…

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamu’alaikum wbt…
Salam Sejahtera…

Segala puji bagi Allah SWT Pencipta sekalian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulillah rupanya saya masih lagi bernafas di muka bumi Allah dengan nikmat iman dan Islam. Tiada lafaz yang lebih mulia melainkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikecapi dalam sedar mahupun tidak. Tiada juga kegembiraan yang terungkap melainkan diri ini dapat melakukan yang terbaik demi Islam tercinta.

Sungguh lama dibiarkan blog yang dicipta ditinggalkan sepi tanpa ada madah atau idea yang diluahkan.. Sedar mahupun tidak sudah lebih 3 bulan. Sekalung kemaafan atas segala kekurangan diri yang adakalanya kurang istiqamah dalam penulisan. Astaghfirullah al’azim…

Sahabatku yang dirahmati Allah…

Banyak yang telah saya lalui sepanjang 3 bulan menyepi tanpa sentuhan penulisan. Menghadapi manusia yang tidak pernah memahami naluri muslimah Islam sangat memeritkan. Biar saya menerima cemuhan namun saya masih belum kuat menghadapinya sendirian. “Open Minded” adakalanya menyesakkan fikiran kerana kita mahu memasuki Islam secara total namun selalu ia dikaitkan dengan “kolot”. Tidak kira siapa pun yang menghalang, saya harus kuat dan berpegang teguh pada prinsip diri. Apabila kita mencari redha Allah dengan kemurkaan pada manusia, itu lebih baik daripada kita mencari redha manusia dengan kemurkaan Allah. InsyaAllah satu hari nanti akan terbina juga daulah Islamiyyah yang telah pudar di masa ini.

Apabila putaran masa bukan pada tangan manusia, maka Bulan Ramadhan akan menjengah tiba seketika nanti. Terasa cepat masa berlalu. Adakah masa yang kita ada sebelum ini cukup mengumpul sebanyak pahala  yang termampu atau sekarang membiarkan pahala yang ada semakin berkurang akibat dosa yang kita lakukan. Bulan Ramadhan bulan keinsafan? Saya terdengar ungkapan ini pada corong radio. Adakah semasa bulan ramadhan sahaja kita perlu insaf? Saya tidak bersetuju dengan ungkapan ini kerana ia menunjukkan bahawa kita boleh melakukan sewenang-wenangkan selain di bulan Ramadhan. Di mana pun kita berada kita tetap berada di bumi ciptaan Allah yang indah jika dinikmati dengan jalan Islam. Dengan itu bulan Ramadhan sepatutnya dijadikan medan untuk kita teruskan usaha melatih diri menjadi ringan tulang, ringan tangan, ringan tubuh dalam melakukan amal kebajikan yang menjanjikan ganjaran pahala dan syurga. Madrasah Ramadhan sangat dinantikan oleh hamba yang soleh dan solehah kerana belum tentu mereka sentiasa takut tidak ketemui bulan ini pada masa akan datang. Moga kita sama-sama dalam golongan tersebut.

Sahabatku yang di kasihi,

Ramadhan semakin menghampiri. Adakah kita bersedia mengorbankan masa kita demi pahala?? Adakah kita masih mahu menjadikan Ramadhan sebagai masa menikmati pelbagai juadah yang ada setahun sekali?? Adakah kita masih menjadikan dunia yang utama atau pahala sebagai bekalan di syurga?? Renung-renungkan buat diri yang hina.. Kita bukan siapa-siapa di mana Allah melainkan kita berusaha mencari redhaNya.

Ya Allah… Jika ini adalah yang terakhir bagiku, Kau bantulah hambaMu ini melawan nafsu yang ada dalam diri ini. Jika ini yang termampu, jadikanlah kami istiqamah dalam apa juga amalan kami walaupun sedikit. Jauhkan kami dari penyakit hati seperti riak, hasad, sombong, takabbur dan iri dalam urusan kami. Jadikan lidah kami tidak tajam sampai mampu menikam hati orang lain. Jadikan hati kami lembut kepada kebaikan. Lembut untuk berbakti hanya keranaMu. Ya Allah, kurniakan kami cahaya dari setiap penjuru kehidupan kami. Cahaya hidayah daripadaMu. Ameen…


Leave a comment

Categories